Rakan-rakan dari SUARAM, Otai Reformasi, PSM, beberapa NGO
dan badan Islam serta aktivis telah mempertikai keputusan pimpinan Pakatan
Harapan (PH) yang merangkul Tun Mahathir dalam barisan kepimpinan PH. Mereka
khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan Reformasi dan agenda
perubahan. Ada pandangan yang mencurigai muslihat sebenar yakni memadamkan
keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat,
pelanggaran hukum dan rasuah. Paling tajam adalah dakwaan bahawa akan berlaku
ikhtiar untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga
autokratik seperti rejim kini.
Luahan tersebut adalah dari rakan-rakan setia dan prihatin,
yang turut mengalami keperitan perjuangan dan banyak membantu melonjakkan
kekuatan pembangkang. Kegusaran tersebut memang berlegar di kalangan masyarakat
dan dihebah di media milik UMNO-BN.
Saya hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan PH
berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya. Kerana
sesungguhnya, politik baru yang dijana PH tidak membatasi kuasa kepada beberapa
kerat pimpinan atau elit; tetapi mengambilkira rintihan, denyut nadi rakyat.
Pada asasnya, PH adalah sebahagian utama dari gerakan rakyat. Malah dalam
kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya - dasar bersama, manifesto dan
belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba pandangan rakan-rakan
NGO, aktivis termasuk BERSIH. PH akan lebih kukuh dengan memberi ruang wacana
segar; menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat mendamba
kebebasan dan keadilan.
Muafakat inklusif PH memuktamadkan prinsip asas perjuangan
ke arah negara demokratik, adil dan saksama. Dasarnya tidak samar melalui
retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan
kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan kehakiman,
penguatkuasaan, dan menghindari kerakusan, amalan rasuah, kronisme dan
kleptokrasi. Dasar ekonomi negara perlu menjurus kepada pemacuan pertumbuhan
dan jaminan pengagihan adil dan peduli rakyat. Kita menolak dasar ekonomi
pemerintah UMNO-BN yang memelihara kepentingan kelompok kecil mahakaya dan
mendera rakyat melalui sistem percukaian dan GST; lesen dan kenaikan harga
barang. PH lebih jelas dan tegas dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa
ibunda. Memartabatkan kedudukan Islam harus disertai nilai dan etika luhur;
tidak hanya pada lambang tetapi membiakkan rasuah dan kezaliman. Penghayatan
Islam termasuk pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu dilaksanakan dengan jaminan
tegas memelihara hak dan kebebasan penganut agama lainnya.
Pada hemat saya kehadiran Tun Mahathir dan Bersatu adalah
dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih
disepakati. Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun untuk turun mengharungi
perjuangan bersama. Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil
berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara. Tun kini terpaksa
bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas
bertindak aktif dan berani. Beliau harus diberikan ruang untuk membantu
memperluas jaringan gerakan rakyat. Struktur PH tidak boleh disamakan dengan
BN. PH adalah wadah demokratik, memimpin bersama dalam pasukan ketua-ketua
parti. Kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang Pengerusi parti
mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang
wujud. Dasar bersama yang dipersetujui telah didedah kepada khalayak secara
telus. Ia adalah agenda rakyat yang diusung oleh PH. Kita perhatikan saja
prestasi negeri Selangor dan Pulau Pinang serta wewenang yang diberikan kepada
pimpinan negeri. Yang tidak mampu disangkal adalah kejayaan program kepedulian
rakyat walaupun kuasa negeri terbatas.
Rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau
perjalanan dan prestasi PH dan menegur atau mengemukakan cadangan. Saya tetap
berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU ke
14. Sistem pilihanraya yang tempang dan kecoh perlu diluruskan. Kesedaran dan
kebangkitan rakyat yang resah dengan tekanan hidup dan merebaknya budaya rasuah
tidak mungkin dibendung melainkan dengan tipu-helah perjalanan pilihanraya.
Percubaan kerajaan khususnya Peguam Negara melindungi penjenayah skandal 1MDB
tidak menghalang tujuh negara meneruskan siasatan yang mereka sebut sebagai
"penipuan, rasuah, rompakan harta khazanah negara."
Penyelewengan dan rompakan tidak menemui titik noktahnya;
hinggakan kepentingan peneroka, majoriti besar Melayu-bumiputera turut
dikhianati. Skandal Felda-FGV berlarutan sekian lama dan kini terbongkar.
Menuding peranan seorang tokoh, atau kambing hitamkan seseorang hanya helah
licik mengaburi mata peneroka dan rakyat. Kecurangan berleluasa dan kerugian
kedua-dua skandal besar ini mencecah puluhan bilion ringgit. Kita boleh
senaraikan ratusan kisah keterlanjuran, sebahagiannya diambil tindakan, dan
selainnya terus dilindungi.
Menjelang PRU ke 14, UMNO-BN seperti lazimnya akan mengerah
jentera kerajaan; media milik mereka; bersama saudagar kaya mengupah pekerja
politik dan mengugut rakyat.
PH dan rakan-rakan dalam gerakan rakyat perlu bangkit
sebagai kekuatan raksasa, menggalas amanah menyelamatkan bangsa dan negara
Malaysia tercinta.
Anwar Ibrahim
30 Julai 2017
No comments